
Bersempena ketibaan bulan Ramadan, Mesir mempergiat usaha menyalurkan bantuan kemanusiaan ke Gaza dengan menggerakkan konvoi tambahan yang membawa bekalan makanan, perubatan dan keperluan asas kepada penduduk Palestin.
Konvoi terbaharu yang dilancarkan oleh Persatuan Bulan Sabit Merah Mesir itu membawa lebih 197,000 bakul makanan, ratusan tan tepung serta bekalan ubat-ubatan yang mencecah lebih 390 tan. Turut dihantar ialah barangan penjagaan diri dan kelengkapan musim sejuk termasuk selimut serta pakaian bagi membantu penduduk yang berdepan keadaan serba kekurangan.
Menurut kenyataan pihak berkenaan, penghantaran tersebut adalah sebahagian daripada inisiatif Ramadan yang menyasarkan penyediaan juadah berbuka puasa kepada kira-kira satu juta rakyat Palestin sepanjang bulan suci ini.
Advertisement
Dalam perkembangan sama, Lintasan Rafah di bahagian Mesir terus berfungsi sebagai laluan penting bagi pergerakan penduduk. Pada Khamis, lintasan itu menerima kumpulan baharu rakyat Palestin yang kembali ke Gaza, selain memudahkan pemindahan pesakit yang mengalami kecederaan serius untuk mendapatkan rawatan di hospital-hospital Mesir.
Operasi di bahagian Palestin lintasan berkenaan disambung semula awal bulan ini buat kali pertama sejak Mei 2024, susulan pelaksanaan fasa kedua perjanjian gencatan senjata antara Israel dan Hamas.
Sejak pembukaan semula itu, Mesir terus menerima pesakit dan individu yang memerlukan rawatan lanjut, selain membantu proses kepulangan penduduk Gaza yang telah pulih.